omniture

FAIRMONT HOTELS & RESORTS MENGUMUMKAN KERJASAMA GLOBAL DENGAN MAKE-A-WISH®

Fairmont Hotels & Resorts
2022-06-27 22:08 185

- Fairmont akan menunaikan lebih 500 permintaan dan menderma sebanyak €1 juta dalam bentuk sokongan amal dalam tempoh tiga tahun akan datang -

PARIS, 27 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Fairmont Hotels & Resorts teruja untuk mengumumkan perkongsian globalnya yang pertama dengan Make-A-Wish®, selepas hampir dua dekad bekerjasama rapat di pelbagai lokasi di Kanada, Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah. Fairmont dan Make-A-Wish akan melancarkan satu program global baharu, Wishes Start Here, untuk memberikan pengalaman unik yang dapat mengubah kehidupan kanak-kanak dan membantu mencipta kenangan yang berkekalan. Sama ada mengubah kanak-kanak menjadi seorang puteri, koboi atau jurumasak; menyediakan destinasi percutian impian; atau hanya memberikan satu tempat istimewa kepada seluruh keluarga untuk menginap di penghujung hari pengembaraan mereka – Wishes Start Here dikhususkan untuk mengubah suatu impian yang paling diingini oleh kanak-kanak menjadi realiti yang memberikan mereka kenangan luar biasa yang akan kekal di sepanjang hayat mereka. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Fairmont komited untuk merealisasikan lebih 500 permintaan kanak-kanak, sambil menderma sebanyak €1 juta dalam bentuk sokongan amal .

"Fairmont dan Make-A-Wish telah menjalin hubungan yang hebat, menganjur acara melibatkan banyak keluarga dan anak-anak mereka yang memberikan inspirasi selama hampir dua puluh tahun," kata Mansi Vagt, Ketua Jenama Global & Naib Presiden Jenama Fairmont, Accor. "Hotel kami sudah pun menjadi sebahagian daripada komuniti mereka dan kerja-kerja yang dilakukan oleh organisasi yang luar biasa ini begitu dekat di hati kami. Kami amat berbesar hati untuk melakukan lebih daripada sekadar menawarkan tempat penginapan yang menarik dan telah bekerjasama dengan pasukan hebat dari Make-A-Wish di kebanyakan lokasi kami untuk mencipta pengalaman unik yang mengubah impian ramai kanak-kanak menjadi kenyataan. Keajaiban menunaikan suatu hasrat mampu mengubah kehidupan dan kami amat berbesar hati untuk memperluas kerjasama penting ini kepada hotel-hotel Fairmont kami di seluruh dunia."

Wishes Start Here akan dimulakan secara rasmi dengan satu sambutan keluarga dan pelancaran Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul pada 31 Julai 2022 di Fairmont Grand Del Mar di San Diego. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, salah satu permintaan yang paling diingini oleh kanak-kanak yang menyertai Make-A-Wish ialah rumah permainan, maka dengan kepakarannya dalam hospitaliti, Fairmont telah menghidupkan konsep ini pada tahap yang tertinggi. Pada awal tahun ini, kanak-kanak dari Make-A-Wish telah dijemput untuk menyertai sesi percambahan idea di Fairmont Scottsdale Princess, dengan misi untuk mereka bentuk Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul. Hasilnya akan didedahkan dan dibuka di Fairmont Grand Del Mar agar kegembiraan dan keseronokan sebenar dapat dirasai. Para tetamu akan dijemput untuk meneroka Rumah Permainan yang dibina khas dan direka sepenuhnya oleh kanak-kanak, untuk kanak-kanak. Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul ini merangkumi semua elemen impian yang diingini oleh kanak-kanak Make-A-Wish – seperti pelbagai permainan binaan, gelongsor melingkar, ruang untuk menari tanpa henti serta ruang tamu indah yang dipenuhi dengan patung beruang.

Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul ini akan kekal berada di lokasi di Fairmont Grand Del Mar sepanjang musim panas dengan tiket-tiket tersedia untuk orang ramai di sepanjang bulan Ogos dan September. Semua hasil jualan tiket akan didermakan terus kepada Make-A-Wish. Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul ini akan beralih ke setiap hartanah Fairmont yang lain di wilayah utama di seluruh dunia yang membolehkan setiap keluarga yang berada di mana-mana sahaja untuk menikmati keajaiban ini.

"Kami sangat teruja untuk memperkukuh kerjasama kami dengan Fairmont Hotels & Resorts dan teruja dengan komitmen mereka yang telah diperbaharui untuk memberi impak kepada misi kami di peringkat global – iaitu untuk menunaikan hasrat yang dapat mengubah kehidupan bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal di seluruh dunia," kata Luciano Manzo, Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish International. "Untuk kanak-kanak dan keluarga mereka yang terlibat, satu perjalanan kembara yang menakjubkan mampu menjadi pengalaman yang transformatif dan komuniti Fairmont global sudah bersedia secara unik untuk membantu merealisasikan lebih banyak harapan."

Dengan matlamat untuk menunaikan lebih 500 permintaan dan mendermakan €1 juta melalui kerjasama global selama tiga tahun ini, Fairmont akan memperkenalkan beberapa acara pengumpulan dana di hotel di seluruh dunia untuk menawarkan para tetamu peluang untuk menyertai mereka dalam menunaikan janji mereka kepada Make-A-Wish. Selain daripada Rumah Permainan Kanak-Kanak Terunggul, inisiatif menarik yang lain turut merangkumi pesta kolam untuk kanak-kanak Make-A-Wish, acara Rakan Bermain 'Make a Friend' dengan para tetamu Fairmont, penduduk tempatan dan kanak-kanak Make-A-Wish serta pemilihan 'Wish Dish' khusus pada menu yang akan merangkumi sumbangan kepada yayasan tersebut. Rakan sekerja Fairmont di seluruh dunia juga akan berpeluang untuk menyumbang lebih banyak idea dan memberikan sokongan langsung melalui acara dan aktiviti pengumpulan dana yang sedang dijalankan.

"Ahli pasukan di seluruh syarikat Accor bersemangat untuk menyokong keinginan kanak-kanak dan Fairmont sentiasa terdorong dengan usaha Make-A-Wish yang tidak mengenal penat serta bukti yang jelas menunjukkan bahawa memasukkan hasrat sebagai sebahagian daripada suatu pelan perubatan kanak-kanak dapat memberikan mereka harapan dan jangkaan untuk masa depan," kata Ralitza Iordanova, Naib Presiden Perkongsian Jenama Global, Accor. "Dengan begitu banyak hasrat yang berkaitan dengan perjalanan, kami percaya Fairmont boleh memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan hasrat tersebut. Berdasarkan sejarah antara kedua-dua jenama kami di kebanyakan destinasi kami, mengukuhkan hubungan kami bersama-sama Make-A-Wish dengan mengembangkannya ke peringkat global kelihatan seperti satu evolusi semula jadi serta satu peluang yang sempurna untuk memberi impak yang bermakna dalam kalangan komuniti kami di seluruh dunia."

Fairmont dan Make-A-Wish telah mula bekerjasama hampir 20 tahun yang lalu. Fairmont pada awalnya memulakan sebuah program yang dipanggil Room at the Inn pada tahun 1993, menawarkan bilik percuma di hotelnya di seluruh Kanada kepada mereka yang datang melawat ahli keluarga yang tersayang di hospital. Ini memberi ilham kepada hubungan dengan Make-A-Wish dan program Fairmont Rooms From the Heart telah diperkenalkan pada tahun 2003. Rooms From the Heart menghimpunkan derma tahunan dan satu siri merealisasikan permintaan yang disokong oleh rangkaian rakan sekerja yang menjadi sukarelawan untuk Yayasan Make-A-Wish.

Untuk kemas kini terkini tentang program Wishes Start Here, sila layari di sini.

Tentang Fairmont 

Fairmont Hotels & Resorts merupakan tempat di mana wujudnya kemesraan yang tidak terhingga – satu portfolio yang tiada tandingan dengan lebih 80 buah hotel luar biasa di mana detik-detik, kenikmatan yang mendalam serta pencapaian peribadi penting dalam kehidupan diraikan dan diingati walaupun setelah sekian lama dilawati. Sejak tahun 1907, Fairmont telah mencipta hotel yang hebat, bermakna dan tidak dapat dilupakan, kaya dengan perwatakan serta berkait rapat dengan sejarah, budaya dan komuniti destinasinya – lokasi seperti The Plaza di Bandar Raya New York, The Savoy di London, Fairmont San Francisco, Fairmont Banff Springs di Kanada, Fairmont Peace Hotel di Shanghai dan Fairmont The Palm di Dubai. Terkenal dengan perkhidmatan yang menarik, ruang awam yang mengagumkan, masakan dengan inspirasi tempatan serta bar dan ruang istirahat yang ikonik, Fairmont juga amat berbangga dengan pendekatan rintisnya terhadap layanan dan kepemimpinan dalam amalan kelestarian dan pelancongan yang bertanggungjawab. Fairmont merupakan sebahagian daripada Accor, sebuah kumpulan hospitaliti terkemuka di dunia yang mempunyai lebih 5,300 hartanah di lebih 110 buah negara serta sebuah jenama yang mengambil bahagian dalam ALL - Accor Live Limitless – sebuah program kesetiaan gaya hidup yang menyediakan akses kepada pelbagai jenis ganjaran, perkhidmatan dan pengalaman. 

fairmont.com | all.accor.com| group.accor.com

Tentang Make-A-Wish 

Make-A-Wish merealisasikan impian yang dapat mengubah kehidupan untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal. Ditubuhkan pada tahun 1980, Make-A-Wish merupakan organisasi terkemuka di dunia yang merealisasikan impian kanak-kanak yang telah menunaikan lebih 520,000 permintaan di hampir 50 buah negara di seluruh dunia. Bersama-sama dengan para penderma yang murah hati, penyokong, kakitangan dan lebih 32,000 orang sukarelawan di seluruh dunia, Make-A-Wish menyampaikan harapan dan kegembiraan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka ketika mereka amat memerlukannya. Make-A-Wish bermatlamat untuk memberikan kuasa membuat permintaan kepada setiap kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal kerana pengalaman keinginan ini dapat membantu meningkatkan kesihatan emosi dan fizikal. Untuk maklumat lanjut tentang Make-A-Wish International, sila layari worldwish.org dan untuk maklumat lanjut tentang Make-A-Wish Amerika, sila layari wish.org.

Sila Hubungi: Caroline Ponomarenko, Pengarah Perhubungan Awam & Komunikasi Accor, Caroline.ponomarenko@accor.com

Source: Fairmont Hotels & Resorts
Keywords: Hotels and Resorts Travel Children-related news Corporate Social Responsibility Licensing/marketing agreements Not for profit